Friday, June 13, 2008

Pembaharuan Regata Sarawak 2008

Oleh Lucia John
Tiga kategori baru diperkenal untuk tarik ramai pelancong berkunjung ke negeri ini

KUCHING: Regata Sarawak 2008 akan memperkenalkan tiga kategori baru sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini Ogos tahun.
Menteri Muda Pelancongan Hamden Ahmad berkata tiga kategori berkenaan ialah kategori 20 pengkayuh kerajaan dan agensi korporat (lelaki), 20 pengkayuh antara negeri dan 20 pengkayuh antara varsiti.
‘Kita berharap dengan adanya tiga kategori tersebut, Regata Sarawak mampu menarik lebih ramai penyertaan dari negara luar seperti Brunei, Kalimantan Barat dan Singapura.
“Ini penting untuk membolehkan kita mempromosikan beberapa acara tahunan di Sarawak,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Hamden, kategori lain yang akan dipertandingkan pada kejohanan itu termasuk tujuh pengkayuh (lelaki), 10 pengkayuh (wanita), 15 pengkayuh campuran, 30 pengkayuh lelaki (Trofi TYT Yang di-Pertua Negeri) dan 15 pengkayuh pelancong.
“Selain itu, kita membuka peluang peserta terbabit dalam kategori 15 pengkayuh lelaki, 20 pengkayuh hotel dan agensi pelancongan, 20 pengkayuh Inter Divison (lelaki) dan sebagainya,” jelas beliau.
Hamden berkata, tahun lepas pertandingan itu mencatatkan seramai 388 penyertaan daripada pasukan-pasukan handal seluruh negeri dan juga negara luar, membuktikan ia sentiasa mendapat sambutan daripada masyarakat.
“Kita akan terus mengelolakan pertandingan ini dengan lebih baik sejajar dengan kehendak kita untuk menjadikan Regata Sarawak acara unggul di negeri ini,” jelasnya.
Bagi memastikan penganjuran Regata Sarawak berjalan lancar kali ini, Kementerian Pelancongan Malaysia juga telah memberi geran sebanyak RM300,000 manakala Kementerian Pembangunan Bandar dan Pelancongan Sarawak (RM70,000), kata Hamden.
Sumbangan turut diterima daripada Shell Berhad (RM100,000), Petronas Malaysia Berhad (RM50,000), Ta Ann Holdings Berhad (RM30,000), dan Global Upline Sdn Bhd (RM30,000), tambah beliau.
Sementara itu, Hamden berkata pihaknya mungkin akan mengadakan pelancaran promosi Regata Sarawak di Pontianak pada 18 dan 19 Jun ini untuk memperkenalkan acara itu kepada para peminatnya di kawasan berkenaan.
‘Kita akan memastikan Regata Sarawak 2008 berlangsung dengan penuh meriah dan dapat memberi peluang kepada pelancong untuk mengenali negeri ini secara dekat,” jelasnya.
Dalam pada itu, pendaftaran untuk menyertai Regata Sarawak boleh dilakukan secara online menerusi laman web www.sarawakregatta.com atau berhubung secara terus dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Tingkat Dua, Electra House, Kuching.

1 comment:

gkvaener said...

Bolehkah mendaftar online di www.sarawakregatta.com??